Pages

PBS BAGI SISTEM MODULAR STPM

Kerja Kursus


1 Pengenalan
Dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia Bahasa Melayu yang baharu, komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) diterapkan kepada calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu. Melalui PBS, calon dikehendaki menyediakan dua kerja kursus, iaitu kerja kursus pada penggal kedua dan kerja kursus pada penggal ketiga. Wajaran markah bagi komponen kerja kursus sepanjang pengajian tingkatan enam ialah 25%. Markah bagi komponen kerja kursus ini dijumlahkan dengan markah peperiksaan yang dikendalikan oleh MPM dalam setiap penggal bagi menentukan gred mata pelajaran dan Purata Nilai Gred
Keseluruhan. Pada penggal kedua, calon dikehendaki mengarang esei berformat manakala pada penggal ketiga, calon dikehendaki menghasilkan penulisan ilmiah. Panduan dan arahan tugasan akan diberikan melalui portal MPM http://www.mpm.edu.my. Tugasan adalah berkaitan dengan tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

2 Objektif

Tujuan kerja kursus ini diadakan adalah untuk menilai dan memperkukuh kebolehan dan keupayaan calon dalam
(a) memahami dan mengaplikasi pengetahuan dan sistem bahasa Melayu
(b) menerapkan dan mengaplikasi domain kemahiran insaniah dalam mata pelajaran ini
(c) menerapkan kesedaran calon bahawa pembelajaran mata pelajaran ini adalah berasaskan pembelajaran sepanjang penggal
(d) mengaplikasi pembelajaran dengan kaedah, teknik, dan strategi yang ilmiah seperti dengan memperoleh ilmu melalui sumber kajian, pengumpulan maklumat daripada pelbagai sumber, dan menyampaikan dapatan dan maklumat dalam bentuk komunikasi yang teratur, jelas, dan sahih.

3 Kerja kursus Penggal Kedua – Penulisan Esei Berformat

1 Pelajar dikehendaki menyediakan esei berformat secara individu.
2 Guru hendaklah menyediakan tajuk soalan esei berformat kepada pelajar.
3 Pelajar dikehendaki menulis sekurang-kurangnya tujuh esei, iaitu satu esei bagi setiap format. Ketujuh-tujuh esei tersebut hendaklah disemak dan markah purata akan dihantar kepada MPM.
4 Pelajar dikehendaki menulis esei berformat dalam waktu pengajaran dan pembelajaran (P & P) Bahasa Melayu.

4 Kerja kursus Penggal Ketiga – Penulisan Esei Ilmiah

1 Esei ilmiah dihasilkan secara berkumpulan dan dibentangkan oleh setiap ahli kumpulan mengikut bahagian masing-masing. Guru mentaksir pembentangan esei tersebut secara individu.
2 Setiap ahli dalam kumpulan dikehendaki membuat pembentangan selama lima minit. Lima minit lagi diperuntukkan untuk sesi soal jawab bagi setiap kumpulan.
3 Bagi calon persendirian individu, esei ilmiah dihasilkan dan dibentangkan secara individu.
4 Dalam sesi soal jawab, satu soalan daripada guru dan dua soalan daripada pelajar hendaklah dibuka kepada semua ahli kumpulan untuk dijawab.
5 Calon digalakkan untuk menggunakan alat bantu yang sesuai, seperti power point, LCD, OHP, atau lain-lain untuk memaparkan isi penting pembentangan.
6 Calon tidak dibenarkan membaca keseluruhan teks daripada hasil kajian.
7 Semangat kerja berpasukan hendaklah jelas kelihatan semasa membuat pembentangan.
8 Markah penuh pembentangan sebanyak 50 markah diberikan untuk aspek kerelevanan, kelancaran, keterampilan, kebahasaan, dan penggunaan alat bantu. Wajarannya ialah 40%. Pemberian markah kepada setiap individu adalah berdasarkan prestasi pembentangannya.
9 Markah penuh penulisan esei sebanyak 50 markah diberikan untuk tajuk kajian, senarai kandungan, penghargaan, pendahuluan, objektif kajian, kaedah kajian, dapatan kajian, rumusan kajian, lampiran, dan bibliografi/rujukan. Wajarannya ialah 60%. Setiap ahli kumpulan diberikan markah yang sama bagi penulisan esei yang dihasilkan.

1 comments:

bakarsheikh said...

Su, assalamualaikum. Memang menarik perubahan kurikulum Tingkatan 6 ini. Pasti lebih mencabar. Semoga Su tetap bersemangat seperti dulu. yang benar abubakar.