Pages

Minda Pengarang: Caruman PERKESO langkah positif lindungi individu bekerja sendiri

BERITA HARIAN ONLINE : 2012/03/29

BANCI Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci) 2010 menunjukkan jumlah penduduk negara ini seramai 28.3 juta orang berbanding 23.3 juta pada 2000. Daripada jumlah itu, sebanyak 14.6 juta adalah lelaki, manakala 13.7 juta perempuan. Bilangan itu mungkin berubah pada tahun ini, namun daripada statistik itu menunjukkan bilangan wanita di negara ini tidak jauh berbeza dengan lelaki. Menurut Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, ketika ini hanya 46 peratus golongan wanita di negara ini yang berkerjaya, manakala bakinya sekadar menjadi tenaga kerja terpendam seperti menjadi suri rumah, pelajar dan warga emas. Namun begitu, ada dalam kalangan suri rumah ini yang menjadi usahawan kecil-kecilan, terbabit dalam perniagaan jualan langsung atau dalam talian, sekali gus memiliki pendapatan sendiri untuk menampung kehidupan seharian sama ada untuk diri sendiri atau keluarga. Bagaimanapun, mereka yang bekerja sendiri ini memang diketahui tidak menerima tanggungan insurans atau keselamatan yang sewajarnya seperti orang yang bekerja makan gaji kerana tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagi yang makan gaji, caruman KWSP setiap bulan adalah untuk simpanan hari tua bagi menjamin masa depan lebih baik selepas bersara. Potongan PERKESO pula adalah jaminan insurans untuk diri dan waris jika berlaku kemalangan kepada diri mereka sama ada ketika di tempat kerja atau dalam perjalanan pergi dan pulang tempat kerja. Justeru, cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk membolehkan suri rumah dan mereka yang bekerja sendiri membuat caruman PERKESO adalah satu langkah yang positif. Walaupun modul dan mekanisme caruman itu belum diperincikan, sekurang-kurangnya cadangan itu dapat menggalakkan rakyat, terutama yang bekerja sendiri memikirkan satu bentuk perlindungan kewangan untuk diri mereka sendiri jika berlaku perkara luar jangka atau musibah yang menimpa mereka. Isu yang mungkin timbul susulan daripada cadangan ini ialah adakah golongan ini rela membuat caruman PERKESO kerana ia membabitkan pendapatan mereka. Mungkin isu seperti ini yang perlu diambil kira pihak kementerian kerana pada prinsipnya, kita tidak mahu cadangan ini dianggap sebagai paksaan kepada rakyat untuk menyerahkan sebahagian pendapatan mereka kepada kerajaan kerana pada masa sama, ramai rakyat yang bekerja sendiri mengelak daripada membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
 
iklan iklan
iklan


SENARAI AKTA


SENARAI AKTA

Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969;

Perlembagaan Persekutuan;

Akta Imigresen 1959/63;

Akta Pasport 1966;

Akta Pendaftaran Negara 1959 (Disemak 1972);

Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957;

Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952;

Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976;

Akta Pertubuhan 1966;

Akta Penapisan Filem 2002;

Peraturan-Peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966;

Akta Pengangkatan 1952;

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960;

Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) (No. 5) 1969;

Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985;

Akta Kediaman Terhad 1933;

Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964;

Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979;

Akta Pencegahan Jenayah 1959;

Akta Dadah Berbahaya 1952;

Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1985;

Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang-Orang Yang Tidak Diingini 1969;

Akta Hasutan 1948;

Akta Senjata 1960;

Akta Rahsia Rasmi 1972;

Kanun Keseksaan;

Akta Keadilan Jenayah 1953;

Akta Ekstradisi 1992;

Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001;

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;

Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986;

Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971;

Akta Bahan Letupan 1957;

Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958;

Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959;

Akta Peniaga Barang Terpakai 1946;

Ordinan Ketenteraman Awam 1962 (Sarawak);

Ordinan Ketenteraman Awam 1961 (Sabah);

Akta Ketenteraman Awam (Pemeliharaan) 1958;

Akta Buang Negeri 1959;

Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953;

Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947;

Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954;

Akta Ejensi Persendirian 1971;

Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002; dan

Akta AntiPemerdagangan Orang 2007.
Akta Bank Pertanian Malaysia 1969 - Akta 9

Akta Institut Penyelidikan dan Kemajuan

Pertanian Malaysia (MARDI) 1969 - Akta 11

Akta Persatuan Nelayan 1971 - Akta 44

Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 1971 - Akta 49

Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 1972 - Akta 69

Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) 1972 - Akta 70

Akta Pertubuhan Peladang 1973 - Akta 109

Akta Lembaga Pertubuhan Peladang 1973 - Akta 110

Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1965 - Akta 141

Akta Doktor Veterinar 1974 - Akta 147

Akta Racun Makhluk Perosak 1974 - Akta 149

Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 - Akta 167

Akta Perikanan 1985 - Akta 317

Akta Perindustrian Nanas 1957 - Akta 427

Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993 - Akta 507

Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 - Akta 522

Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 - Akta 634

Akta Binatang 1953 - Akta 647

Akta Bank Pertanian Malaysia Berhad 2008 - Akta 684


Isu Kekebalan Raja-raja Melayu

Isu Kekebalan Raja-raja Melayu

Isu kekebalan raja ini sebenarnya timbul pada tahun-tahun 1992, ketika mantan PM, Tun Mahathir Mohamed berusaha untuk menarik kekebalan raja-raja Melayu ketika itu. Sebenarnya kes ini timbul pada 1992, bila Douglas Gomez dicederakan di Istana Sultan Johor pada 30 Nov.1992. Berikutan dengan itu pada 10 Disember, 92 Dewan Rakyat telah meluluskan dengan sebulat suara usul yang dicadangkan oleh En Ghafar Baba, TPM ketika itu, mengenai peristiwa yang dikenali sebagai peristiwa Bukit Serene.

Sebenarnya sebelum Bukit Serene, berbagai perkara telah berlaku. Antaranya pada Julai 1992, Tengku Bendahara Johor telah dituduh memukul dan mencederakan seorang bernama Jaafar, penjaga gol hoki pasukan Perak selepas perlawanan hoki antara Johor dan Perak. Kemudian, peristiwa Prebet Adam yang mengamuk di Chow Kit juga dikaitkan dengan kesultanan Johor yang sehingga kini tiada keputusan yang jelas mengenai perkara itu.
En. Ghafar Baba menegaskan di Parlimen;
“Dan bahawa Dewan ini memutuskan kejadian tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan Malaysia dan bertentangan dengan cita-cita serta hasrat undang-undang negara yang berteraskan kepada sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Dan Dewan ini mengambil ketetapan bahawa segala tindakan yang perlu hendaklah diambil bagi menentukan insiden seumpama ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.”

Bahagian Perlembagaan yang disebut-sebut akan dipinda adalah Perkara 181(1) yang menyebutkan bahawa “Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja.” Mengikut peruntukan ini, adalah sukar bagi kerajaan Barisan Nasional untuk meminda Perkara 66 (4) Perlembagaan Malaysia yang berbunyi “Yang Di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa 30 hari selepas sesuatu rang undang-undang dikemukakan kepada baginda diperkenankan dengan menyebabkan rang undang-undang itu dicop dengan Mohor Besar.” Kod Etika yang dikemukakan oleh Barisan Nasional ditolak oleh Majlis Raja-Raja, menjadikan ia sukar untuk dilaksanakan. Akhirnya kerajaan berjaya memasukkan satu artikel tambahan di bawah Perkara 66 (4) iaitu 66 (4A) yang berbunyi “jika suatu rang undang-undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam fasal(4), rang undang-undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah baginda telah memperkenankannya.”

Perkara 66(4) memberikan beberapa implikasi. Antaranya sesuatu rang undang-undang itu akan lulus secara automatik walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak menandatanganinya. Ini memungkinkan kezaliman akan tertimpa ke atas rakyat . Umpamanya, soal Akta Pengambilan Tanah yang telah dipinda, rakyat tidak mampu menolak jika tanahnya ingin diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan. Mereka hanya boleh mempertikaikan tuntutan pampasan di Mahkamah. Selebihnya seseorang itu akan kehilangan tanahnya jika kerajaan berhasrat untuk mengambilnya.

1. Pandangan Sultan
Sultan SelangorSultan Sharafuddin Idris Shah
“ Jika rakyat rasa saya berhak, saya menerimanya dan saya akan lakukan yang terbaik. Apapun , biarlah rakyat dan Parlimen tentukan kerana Parlimenlah yang menarik balik kekebalan raja-raja. Malah , ia dibawa oleh orang Melayu sendiri….”
Istana Mestika6 hb. Disember,2008
 Mingguan Malaysia; 7 hb. Disember,2008, ms 1

2. Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali(MP Pasir Mas) berkata Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda semula bagi mengembalikan semula kuasa raja-raja bagi memperkenankan sesuatu rang undang-undang di Parlimen. Ia adalah sebagai langkah untuk meyakinkan orang Melayu serta percaya institusi raja di negara ini masih relevan.

3.Perkara 181(2) :Perlembagaan Malaysia; pindaan pada tahun 1994 membolehkan raja-raja Melayu didakwa  di Mahkamah Khas Raja-raja.

4.Menurut Prof. Zainal Kling pula , “jika tiada kuasa raja; kerajaan mungkin akan menjadi terlalu kuat seperti apa yang berlaku    di Thailand. Jadi, mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu adalah wajar.”

Karangan STPM Berformat Laporan

ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA SEMUA...

Di sini cikgu paparkan contoh latihan Laporan Tingkatan 6 yang diambil daripada Blog Cikgu Mohd Khir Kassim..
Semoga dapat membantu semua.. terima kasih kepada Cikgu Mohd Khir(guru cemerlang T6) atas perkongsian ini.


Soalan Contoh
Andaikan anda sebagai pegawai kanan di Kementerian Pengajian Tinggi dan anda diminta untuk menjalankan kajian tentang kesan pertumbuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, sediakan satu laporan tentang kesan pertumbuhan IPTS kepada rakyat dan negara ini.

Rangka Karangan
1.0 Pendahuluan
- Dunia pendidikan penting dalam era moden kini - kemajuan dalam bidang pendidikan menyebabkan wujudnya IPTS
2.0 Senarai Ahli Jawatankuasa
Pengerusi:
Setiausaha:
AJK :
3.0 Kesan Pertumbuhan IPTS
Kesan positif
3.1 Peluang untuk melanjutkan pelajaran bertambah
3.2 Pelajar bebas membuat pilihan untuk belajar
3.3 Membantu negara mencapai matlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu
Kesan negatif
3.4 IPTS mementingkan keuntungan – yuran yang mahal
3.5 Kemasukan pelajar asing bertambah – timbul masalah lain
3.6 Terdapat sesetengah dasar IPTS yang tidak seiring dengan kehendak negara,
contohnya penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
4.0 Penutup
- Pertumbuhan IPTS ternyata mendatangkan kebaikan dan keburukan
- Usaha yang berkesan perlu dijalankan untuk memastikan penubuhan IPTS mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara


Laporan disediakan oleh: Tarikh: __________

___________________
(Nama )
Jawatan

Karangan Contoh

LAPORAN TENTANG KESAN PERTUMBUHAN IPTS DI NEGARA INI

1.0 Pendahuluan
Dalam era globalisasi kini, aspek pendidikan merupakan perkara penting yang diberikan tumpuan oleh setiap negara. Akibat kemajuan dalam bidang pendidikan ini, kewujudan IPTS nampaknya semakin banyak di negara kita iaitu seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pertumbuhan IPTS itu telah banyak mendatangkan kebaikan dan keburukan terhadap negara kita. Setiap pihak dapat merasakan kesan pertumbuhan tersebut dan senario itu memang patut dipantau agar sebarang permasalahan dapat ditangani dengan berkesan. Sebagai pegawai yang telah diamanahkan untuk menjalankan kajian terhadap kesan pertumbuhan IPTS di negara ini, saya ingin membentangkan laporan tersebut.

2.0 Senarai Ahli Jawatankuasa
Pengerusi: Datuk Syazwan Munasir
Setiausaha: Farahana Iqmal
Ahli Jawatankuasa : Azuan Zainal
Tharshini a/p Perumal
Chin York Chow
Mohamad Nawawi Ismail
Halimah Nursalam
Mahmud Zulkifli

3.0 Kesan Pertumbuhan IPTS
Kesan pertumbuhan IPTS ini terbahagi kepada dua iaitu kesan positif
dan negatif.
Kesan positif:
3.1 Peluang untuk melanjutkan pelajaran bertambah
Jawatankuasa kami mendapati bahawa kesan positif yang pertama ialah peluang unntuk melanjutkan pelajaran ke IPT semakin bertambah. Perkara ini telah memberikan peluang yang lebih banyak kepada pelajar-pelajar yang gagal mendapat tempat di IPT Awam. Oleh itu, pelajar-pelajar tersebut boleh meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat, diploma dan ijazah. Dengan kata lain, mereka tidak tersekat setakat SPM kerana kekurangan tempat di IPTA. Hal ini bermakna bahawa semua pelajar mempunyai peluang yang sama sama ada yang cemerlang atau yang kurang cemerlang untuk melanjutkan pengajian.

3.2 Pelajar bebas untuk membuat pilihan untuk belajar
Dengan adanya IPTS, pelajar-pelajar bebas untuk membuat pilihan tentang bidang pengajian yang hendak diikuti oleh mereka. Tempat yang terhad di IPTA telah digantian dan disediakan oleh IPTS yang sama tarafnya dengan IPTA. Oleh itu, pelajar-pelajar dapat meneruskan bidang pengajian yang diminati oleh mereka tanpa sekatan oleh masalah tempat yang terhad. Hal ini demikian kerana, mereka boleh memilih IPTA yang disukai dan bersesuaian dengan bidang pengajian yang hendak diambil.

3.3 Pertumbuhan IPTS ini akan membantu negara kita mencapai matlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini. IPTS yang berkualiti yang terdapat di negara ini telah menarik pelajar-pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pengajian di sini. Perkara ini disokong pula oleh kadar bayaran yuran yang berpatutan dan lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Jadi, dengan kawalan dan pemantauan yang ketat daripada kerajaan, kualiti IPTS dan graduan yang dihasilkan setanding dengan universiti ternama di dunia.

Kesan negatif:
3.4 Berdasarkan kajian kami, terdapat IPTS yang mementingkan keuntungan semata-mata. IPTS tersebut mengenakan yuran yang mahal terhadap pelajar-pelajarnya. Pelajar-pelajar luar negara mungkin tidak menerima kesan buruk yang teruk kerana mereka yang datang ke sini sememangnya mampu untuk membayar yuran tersebut. Masalah ini memberikan kesan yang teruk terhadap pelajar-pelajar tempatan yang datang daripada keluarga yang miskin dan tidak mampu untuk membayar yuran pengajian yang tinggi. Tambahan pula, bantuan kewangan yang diberikan oleh PTPTN juga tidak mencukupi.

3.5. Ahli jawatankuasa kami mendapati bahawa pertumbuhan IPTS ini menyebabkan kemasukan pelajar asing semakin bertambah di negara kita. Perkara ini telah menimbulkan masalah lain yang menjejaskan negara. Sebagai contohnya, terdapat pelajar asing yang suka bergaduh sesama mereka di samping suka mengganggu anak gadis tempatan. Kadar jenayah juga semakin meningkat kerana mereka turut terlibat dengan pelbagai sindiket jenayah seperti pemerdagangan manusia, pemalsuan dokumen perjalanan dan sebagainya.

3.6 Di samping itu, terdapat sesetengah dasar IPTS di negara ini yang tidak seiring dengan kehendak dan aspirasi negara. Sebagai contohnya, bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar di IPTS tersebut. Jadi, perkara ini menyebabkan usaha untuk memartabatkan bahasa Malaysia terbantut dan tidak mencapai matlamat seperti yang dihasratkan oleh negara kita. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar luar negara sudah tentu tidak mahu menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium perantaraan dan juga sebagai bahasa komunikasi.

4.0 Penutup
Sebagai kesimpulannya, pertumbuhan IPTS ternyata mendatangkan kebaikan dan keburukan. Oleh itu, usaha yang berkesan daripada pelbagai pihak perlu dijalankan untuk memastikan penubuhan IPTS mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara. Jika perkara ini tidak diberikan perhatian, sudah tentu kesan buruknya akan menjejaskan imej dan kesejahteraan negara kita di mata dunia. Oleh hal yang demikian, kita berharap pertumbuhan IPTS ini akan dapat membantu negara kita untuk mencapai matlamat sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.


Laporan disediakan oleh Tarikh : 29 MEI 2011

_____Farahana_______
(FARAHANA IQMAL)
Setiausaha Jawatankuasa IPTS
Sektor Pengurusan IPTS
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Posted by Cikgu Mohd Khir Kassim at 4:48 AM

Sembilan Strategi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006 hingga 2010


1. Penambahan dan pengekalan pendidikan serta langkah psikologi dalam mengangani isu keselamatan jalan raya.
2. Mengurangkan kecuaian manusia dengan menggabung dan mengguna pakai kepakaran teknologi.
3. Mempertingkatkan dan meneruskan program kejuruteraan.
4. Mempertingkatkan pelaksanaan program keselamatan jalan raya melalui komuniti dengan membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik, badan professional, sukarelawan dan belia.
5. Menggalakkan penggunaan kenderaan awam.
6. Memberikan focus kepada perbezaan jurang keselamatan jalan raya dengan matlamat mencapai faedah kos optimum dalam pengagihan sumber.
7. Menumpukan perhatian kepada pengguna jalan raya yang kerap terbabit dalam kemalangan, iaitu penumpang dan pemboceng motosikal, pemandu, penumpang, dan pejalan kaki.
8. Mengkaji semua dan mempertingkatkan peraturan kesemalatan jalan raya
9. Mempromosikan perkongsian dana antara orang awam dengan swasta bagi menjalankan program keselamatan jalan raya.

PBS BAGI SISTEM MODULAR STPM

Kerja Kursus


1 Pengenalan
Dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia Bahasa Melayu yang baharu, komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) diterapkan kepada calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu. Melalui PBS, calon dikehendaki menyediakan dua kerja kursus, iaitu kerja kursus pada penggal kedua dan kerja kursus pada penggal ketiga. Wajaran markah bagi komponen kerja kursus sepanjang pengajian tingkatan enam ialah 25%. Markah bagi komponen kerja kursus ini dijumlahkan dengan markah peperiksaan yang dikendalikan oleh MPM dalam setiap penggal bagi menentukan gred mata pelajaran dan Purata Nilai Gred
Keseluruhan. Pada penggal kedua, calon dikehendaki mengarang esei berformat manakala pada penggal ketiga, calon dikehendaki menghasilkan penulisan ilmiah. Panduan dan arahan tugasan akan diberikan melalui portal MPM http://www.mpm.edu.my. Tugasan adalah berkaitan dengan tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

2 Objektif

Tujuan kerja kursus ini diadakan adalah untuk menilai dan memperkukuh kebolehan dan keupayaan calon dalam
(a) memahami dan mengaplikasi pengetahuan dan sistem bahasa Melayu
(b) menerapkan dan mengaplikasi domain kemahiran insaniah dalam mata pelajaran ini
(c) menerapkan kesedaran calon bahawa pembelajaran mata pelajaran ini adalah berasaskan pembelajaran sepanjang penggal
(d) mengaplikasi pembelajaran dengan kaedah, teknik, dan strategi yang ilmiah seperti dengan memperoleh ilmu melalui sumber kajian, pengumpulan maklumat daripada pelbagai sumber, dan menyampaikan dapatan dan maklumat dalam bentuk komunikasi yang teratur, jelas, dan sahih.

3 Kerja kursus Penggal Kedua – Penulisan Esei Berformat

1 Pelajar dikehendaki menyediakan esei berformat secara individu.
2 Guru hendaklah menyediakan tajuk soalan esei berformat kepada pelajar.
3 Pelajar dikehendaki menulis sekurang-kurangnya tujuh esei, iaitu satu esei bagi setiap format. Ketujuh-tujuh esei tersebut hendaklah disemak dan markah purata akan dihantar kepada MPM.
4 Pelajar dikehendaki menulis esei berformat dalam waktu pengajaran dan pembelajaran (P & P) Bahasa Melayu.

4 Kerja kursus Penggal Ketiga – Penulisan Esei Ilmiah

1 Esei ilmiah dihasilkan secara berkumpulan dan dibentangkan oleh setiap ahli kumpulan mengikut bahagian masing-masing. Guru mentaksir pembentangan esei tersebut secara individu.
2 Setiap ahli dalam kumpulan dikehendaki membuat pembentangan selama lima minit. Lima minit lagi diperuntukkan untuk sesi soal jawab bagi setiap kumpulan.
3 Bagi calon persendirian individu, esei ilmiah dihasilkan dan dibentangkan secara individu.
4 Dalam sesi soal jawab, satu soalan daripada guru dan dua soalan daripada pelajar hendaklah dibuka kepada semua ahli kumpulan untuk dijawab.
5 Calon digalakkan untuk menggunakan alat bantu yang sesuai, seperti power point, LCD, OHP, atau lain-lain untuk memaparkan isi penting pembentangan.
6 Calon tidak dibenarkan membaca keseluruhan teks daripada hasil kajian.
7 Semangat kerja berpasukan hendaklah jelas kelihatan semasa membuat pembentangan.
8 Markah penuh pembentangan sebanyak 50 markah diberikan untuk aspek kerelevanan, kelancaran, keterampilan, kebahasaan, dan penggunaan alat bantu. Wajarannya ialah 40%. Pemberian markah kepada setiap individu adalah berdasarkan prestasi pembentangannya.
9 Markah penuh penulisan esei sebanyak 50 markah diberikan untuk tajuk kajian, senarai kandungan, penghargaan, pendahuluan, objektif kajian, kaedah kajian, dapatan kajian, rumusan kajian, lampiran, dan bibliografi/rujukan. Wajarannya ialah 60%. Setiap ahli kumpulan diberikan markah yang sama bagi penulisan esei yang dihasilkan.

STPM BAHASA MELAYU BAHARU


SUKATAN PELAJARAN 910 BAHASA MELAYU

Matlamat Matlamat sukatan pelajaran ini adalah untuk
(a) melahirkan pelajar yang dapat berbahasa Melayu dengan cekap dan berupaya untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi;
(b) menghasilkan lulusan bahasa Melayu yang berdaya saing dan dapat memenuhi keperluan pasaran kerja; (c) mengukuhkan rasa sayang akan bahasa Melayu dan berbangga menggunakannya.

Objektif Objektif sukatan pelajaran ini adalah untuk membolehkan pelajar
(a) memahami sejarah, kekeluargaan, dan perkembangan bahasa Melayu;
(b) menguasai dan menggunakan sistem bahasa Melayu dengan betul;
(c) memahami, menginterpretasi, dan mengulas kandungan bahan bacaan tentang pelbagai bidang;
(d) memahami wacana, retorik, variasi, dan laras bahasa dengan betul, dan dapat menggunakannya dengan berkesan;
(e) memahami, memilih, dan menggunakan kosa kata mengikut konteks, dan dengan gaya yang sesuai;
(f) mengungkapkan fikiran dengan menggunakan bahasa yang betul, baik, dan berkesan, sama ada secara lisan atau tulisan;
(g) mengembangkan sesuatu idea secara tersusun, padat, dan meyakinkan, sama ada secara lisan atau tulisan;
(h) mengenal pasti kesalahan bahasa, menjelaskan sebab kesalahan, dan membetulkannya;
(i) menguasai kemahiran insaniah (seperti kerja secara berkumpulan, kepemimpinan, keupayaan menyelesaikan masalah, keterampilan berkomunikasi, dan lain-lain) dalam konteks penggunaan

TOKOH BAHASA MELAYU MODEN

Raja Ali Haji

Tokoh ini terkenal sebagai ulama serta sastrawan Melayu terkemuka pada abad 19. Raja Ali Haji adalah keturunan bangsawan Bugis yang mendiami Pulau Penyengat, tidak jauh dari Tanjung Pinang (Pulau Bintan). Ayah beliau bernama Raja Ahmad. Sementara datuk beliau bernama Raja Haji, seorang pahlawan Bugis terkenal.

Ayah Raja Ali Haji sangat menyukai bidang sejarah. Salah satu karya beliau ialah "Syair Perang Johor" menguraikan tentang perang antara Kesultanan Johor dan Kesultanan Aceh abad 17. Selain itu, Raja Ahmad juga orang pertama yang menyusun salasilah tentang sejarah orang Bugis di daerah Melayu dan hubungannya dengan raja-raja Melayu.

Bakat menulis ini diwarisi oleh anak beliau iaitu Raja Ali Haji. Sejak masih remaja, Raja Ali sering mengikuti ayahnya menjelajah ke beberapa wilayah, termasuk ke Batavia, berdagang serta ke Tanah Suci Mekah. Pengalaman beliau membuka banyak pengalaman hidup beliau.

Menginjak usia 20 tahun, beliau sudah diberikan tugas-tugas penting kerajaan. Pada usia 32 tahun, Raja Ali bersama sepupunya, Raja Ali bin Raja Ja‘far, telah mentadbir daerah Lingga, bagi mewakili Sultan Mahmud Muzaffar Syah yang masih muda.

Raja Ali Haji juga dikenali sebagai ulama dan sering menjadi tempat rujukan fatwa oleh kerabat kerajaan. Pengetahuannya dalam bidang agama sangat menonjol dan dimanfaatkan oleh para guru agama di Riau pada ketika itu.

Sumbangan beliau di bidang intelektual tidak terhingga banyaknya meliputi bidang agama, sastera, politik, sejarah, filsafat serta hukum.

Dalam bidang sastera,karya beliau yang berjudul Hikayat Abdul Muluk merupakan karya sastrawan Riau yang pertama diterbitkan pada tahun 1846. Dari sejak itu, semakin banyak karya Raja Ali Haji diterbitkan. Dalam beberapa buah karyanya, beliau selalu menekankan bahawa satu-satunya jalan untuk mengatasi hawa nafsu dan mencegah terjadinya konflik adalah dengan taat kepada hukum Allah SWT yang telah digariskan kitab suci Al Quran.

Selain itu tiap-tiap individu harus menjaga nama baik, ilmu dan akalnya. Pada setiap pesan etik yang disampaikan, Raja Ali kerap menyisipkan lukisan peristiwa nyata yang terjadi sepanjang pengalaman hidup beliau.

Raja Ali pun tak lupa menyoroti akhlak kepemimpinan. Menurutnya, seorang raja yang melalaikan tugasnya dan mendurhakai Tuhan tidak dapat diterima sebagai penguasa lagi.

Terlalu banyak hasil karya Raja Ali Haji,yang bercirikan kesusastraan Islam serta Melayu, juga kesungguhannya dalam menyajikan sejarah masa lalu. Di samping itu, karyanya berjudul Gurindam Dua Belas (1847) menjadi karya tak ternilai bahkan paling menonjol di antara karya yang lain. Dalam usaha untuk melestarikan karya-karyanya, pada awal tahun 1890, semua sanak saudaranya menubuhkan sebuah perkumpulan bernama Rusdyiah Club yang bergerak di bidang pembinaan umat serta penerbitan buku bersifat Islami. Raja Ali Haji dimakamkan di Pulau Penyengat. Di pulau ini terdapat banyak peninggalan Kerajaan Melayu. Ketika pusat kerajan Riau dipindahkan ke Pulau Penyengat tahun 1900, dibangunlah sebuah istana yang dikenali sebagai Kedaton. Di kompleks pemakaman Engku Putri Raja Hamida terdapat makam Radja Ali Haji. Makam Raja Ali Haji terletak di luar bangunan utama Makam Engku Putri. Karyanya Gurindam Dua Belas diabadikan di sepanjang dinding bangunan makam. Setiap pengunjung dapat membaca atau mencatat karya besarnya yang luar biasa indah tersebut.

Gurindam Dua Belas merupakan karya besar Raja Ali Haji (1809 - 1872). Beliau dikenal sebagai seorang budayawan, dan penulis dengan karya kaya beraliran Riau. Lahir sekitar tahun 1809 di Pulau Penyengat sebuah pusat keilmuan Melayu Islam yang penting di abad ke 19. Beliau wafat pada usia 63 tahun dan dimakamkan di pulau Penyengat pada tahun 1872.
Berikut merupakan beberapa petikan Gurindam Dua Belas :

Barang siapa mengenal Yang Tersebut, tahulah ia makna takut
Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang
Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua termasa
Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat
Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji

Sumber: riaulingga.blogspot.com

BERITA STPM TERKINI



STPM Secara Modular Mulai 2012
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sentiasa berusaha untuk memperkasakan program pendidikan tingkatan enam dengan merangka rancangan penjenamaan semula program pendidikan prauniversiti ini. Satu daripadanya ialah merombak sistem peperiksaan STPM daripada sistem terminal kepada sistem modular.

STPM
Sistem pentaksiran STPM secara modular akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan tingkaran enam bawah pada tahun 2012. Dalam sistem modular ini, penilaian terhadap pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap semester (ada tiga semester semuanya). Selain peperiksaan akhir berpusat pada setiap hujung semester, pelajar akan dinilai juga melalui kerja kursus yang dijalankan sepanjang pengajian. Dengan pelaksanaan sistem baru ini diharapkan pengajian tingkatan enam akan menjadi lebih menarik, dan dengan yang demikian, lebih banyak pelajar akan mengikuti pengajian peringkat prauniversiti ini.

Dari segi promosi, KPM telah menghebahkan maklumat ini melalui laman web, media massa dan program turun padang untuk menyebarluaskan maklumat tentang pelaksanaan sistem modular ini kepada warga pendidik di semua peringkat, khususnya kepada guru tingkatan enam, dan kepada pelajar serta masyarakat umum seluruhnya.

KPM akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan dan menghebah kelebihan tingkatan enam serta terus berusaha memperkasakan pendidikan tingkatan enam. Usaha-usaha promosi juga dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak terutama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam program ‘Jom Masuk U’. Proses peralihan sedang dilaksanakan melalui siri kursus dan taklimat bagi memantap dan menyebarkan maklumat berkaitan sebelum pelaksanaannya.

Sumber : KPM

TOKOH PENDIDIKAN

Tokoh Pendidikan


Zainal Abidin Bin Ahmad ( ZA’BA )Pendeta Yang Bersemangat Waja.




ZA’BA merupakan seorang tokoh cendekiawan dan patriot Melayu yang ulung dan yang amat prihatin terhadap masalah umat Melayu dalam pelbagai bidang terutama bahasa, pendidikan, agama dan ekonomi.

Dilahirkan pada 16 September 1895 dan dibesarkan di Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak Melayu pertama di Negeri Sembilan yang menduduki peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1915 dan memperolehi keputusan yang cemerlang, malah beliau menjadi pelajar yang mendapat markah tertinggi dalam Ilmu Hisab, karangan Bahasa Inggeris dan Geografi Fizikal.

Beliau mula bergiat dalam bidang penulisan semasa bertugas sebagai guru pada tahun 1916 dan mengajar bahasa Melayu di beberapa buah sekolah di Johor dan Perak. Beliau telah menghasilkan beberapa majalah berbahasa Melayu seperti Utusan Melayu, Lambaga Melayu dan Pengasuh yang memperjuangkan nasib dan masa depan orang Melayu. Selain itu, beliau turut menghasilakn dua buah karya klasiknya tentang seni karangan dan tatabahasa Melayu, iaitu Ilmu Mengarang Melayu (1927) dan Pelita Bahasa(1934). ZA’BA merupakana seorang pemikir, pejuang dan penulis yang prolifik. Beliau menghasilkan karyanya dengan menggunkan bahasa Melayu dan Inggeris. Beliau juga turut berjaya menghasilkan ratusan makalah dan tidak kurang daripada 20 judul buku, termasuk Canai Bacaan(1924) dan Umbi Kemajuan (1932).

Selain bergiat dalam bidang penulisan, beliau juga pernah menjadi penterjemah berita dan juruhebah untuk pemerintahan Inggeris di Radio Malaya Singapura dan penterjemah bahasa Melayu di Mahkamah Kuala Lumpur. Beliau juga turut memikul tugas sebagai guru bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies, University of London pada tahun 1949/50. Beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dari universiti tersebut ketika berusia 52 tahun dan kemudian beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat di UM Singapura.

Memandangkan sumbangannya yang luar biasa terhadap bahasa dan persuratan, pada tahun 196, beliau telah dianugerahkan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga suatu gelaran unik iaitu Pendeta Bahasa yang bermaksud ilmuan bahasa yang ulung. Pada tahun 1973, beliau mendapat anugerah Ijazah Doktor Persuratan Kehormat oleh UKM. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pemikir bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu, beliau merupakan pengasas Jabatan Pengajian Melayu di UM Singapura. Dari jabatan inilah kemudian tertegaknya Jabatan Pengajian Melayu, UM Kuala Lumpur yang kini berkembang menjadi Akademi Penyajian Melayu.

ZA’BA yang merupakan seorang tokoh terbilang dalam bidang persuratan telah meninggal pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.





Aminuddin Baki : Tokoh Pendidik dan Pemikir Bangsanya


Aminuddin Baki telah diiktiraf sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Beliau telah terlibat dalam penggubakan beberapa dasar pendidikan negara untuk menghasilkan satu sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu yang keluar daripada sistem pendidikan yang diasaskan oleh penjajah yang berat sebelah.

Beliau di lahirkan di Chemor, Perak pada tahun 1926 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor sehingga darjah lima dan kemudiannya di Sekolah Anderson, Ipoh dari tahun 1936 hingga 1945. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Raffles College, Singapura dan memerolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di University of London dan dianugerahkan Postgraduate Certificate of Education.

Beliau telah bergerak cergas dalam kegiatan yang dianjurkan oleh pertubuhan pelajar Melayu di Semenanjung seperti Persatuan Penuntut-Penuntut Melayu Victoria Institution pada tahun 1945. Kecenderungan beliau menggerakkan pelajar Melayu supaya bersatu mendapatkan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan tinggi dilanjutkan ketika beliau menuntut di Singapura. Pada tahun 1950, Aminuddin Baki telah dipilih menjadi Yang Dipertua GPMS dimana beliau telah meniup semangat orang Melayu untuk memberikan perhatian yang serius kepada pendidikan.

Beliau juga dilantik menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) setelah sekembalinya dari melanjutkan pelajaran di London. Semasa menjadi pensyarah, beliau telah membuka fikiran penuntutnya untuk melihat peranan Islam dalam pembentukan tamadun dunia dan peri pentingnya memperoleh pengetahuan dengan banyak membaca. Selain itu, beliau turut memainkan peranan dalam perkembangan pendidikan Negara dengan penglibatannya dalam menyiapkan Penyata Razak (1955-1957) dan Laporan Rahman Talib (1960-1963). Penyata dan Laporan ini penting dalam pembinaan dasar pendidikan negara sehingga hari ini. Beliau turut terlibat dalam Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi dan Pelajaran Aneka Jurusan.

Pada usia 30-an, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penasihat Pelajaran (sekarang dikenali sebagai Ketua Pengarah Pelajaran) Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1961 hingga 1965. Kesimpulannya, kejayaan pendidikan tinggi kebangsaan pada hari ini antaranya disumbangkan oleh Aminuddin Baki. Perhatian dan perjuangannya kepada pendidika tinggi orang Melayu sangat dihargai. Penglibatannya dalam perancangan menyiapkan Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib dan keaggotaannya dalam pelbagai bidang jawatankuasa yang lain memberikan pengalaman yang besar dan penting dalam melaksanakan tugasnya sebagai penasihat pelajaran. Jasanya yang besar kepada perkembangan dasar pendidikan negara telah diabadikan dalam pelbagai bentuk seperti penamaan sekolah, kolej dan institusi pendidikan.



Ungku Omar Bin Ungku Ahmad : Saintis yang Berjiwa Pendidik


Ungku Omar ialah pendidik dan saintis terkenal di Malaysia. Beliau sering menyatakan bahawa kemunduran orang Melayu di kawasan luar bandar ada hubung kait dengan tahap kesihatan yang membimbangkan. Oleh hal yang demikian, beliau telah memberikan perhatian kepada peningkatan taraf kesihatan penduduk luar Bandar. Penglibatannya dalam bidang penyelidikan sains dan perubatan mendapat pengitirafan antarabangsa seperti World Health Organization (WHO) dan diterima sebagai ahli College of Pathologist, London dan ahli kehormat College of American Pathologist, Amerika Syarikat. Beliau juga ahli jawatankuasa Sains Kemasyarakatan UNESCO dan ahli Lembaga Penyelarasan Kerjasama Serantau dalam Perubatan Tropika (SEAMEC).

Dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada tahun 1931 dan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Tangkak, Pontian dan Segamat, Johor. Beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Inggeris di Keluang dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Seterusnya beliau memperolehi ijazah dalam bidang perubatan di UM Singapura pada tahun 1957. Kemudian beliau berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Setelah itu, beliau meneruskan pelajaran dalam bidang Patologi dan memperolehi diploma dalam bidang tersebut daripada Royal College of Physicians London dan Royal College of Surgeon. Seterunya beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah dari University of London pada tahun 1965 dengan tesis bertajuk “Electrolytes in Isolated Human Leucocytes”.

Beliau telah menjadi Pengarah Institute of Medical Research (IMR) pada tahun 1965 dan turut menghasilakn sebuah jurnal antarabangsa yang terkenal iaitu Journal of Clinical Pathology. Beliau menggunakan pelbagai medium untuk mendidik masyarakat luar bandar tentang perlunya menjaga kesihatan seperti berceramah di radio sehingga dikenali sebagai “Doktor Radio”. Beliau telah memainkan peranan penting dalam penubuhan UKM yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Beliau telah memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perubatan di universiti khususnya di UKM. Selain itu, beliau turut menekankan penggunaan bahasa Melayu di falkuti sastera dan agama, sains, kedoktoran, kejuruteraan, pertanian dan ekonomi kerana ramai pelajar Melayu daripada sekolah kebangsaan tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kuliah disampaikan dalam Bahasa Inggeris.

Beliau juga mengemukakan konsep universiti Islam di Malaysia dalam satu kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Peradaban Islam se-Malaysia. Beliau mencadangkan bahasa Melayu , Arab dan Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti Islam yang dicadangkan. Selain mengajar bahasa Arab dan pengajian Islam, Universiti Islam Malaysia mengajarkan disiplin lain seperti perdagangan, kejuruteraan dan teknologi, undang-undang dan perubatan.

Jasanya yang besar dalam bidang pendidikan telah diabadikan bukan sahaja dengan anugerah bintang kebesaran tetapi juga namanya diabadikan di IPT seperti Politeknik Ungku Omar, Ipoh Perak yang merupakan politeknik yang tertua di Malaysia.





Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abdul Hamid : Pentadbir dan Pemikir Pendidikan Tinggi


Profesor Diraja Ungku Aziz ialah seorang tokoh akademik dan ekonomi yang sangat sukar disaingi apatah lagi ditandingi di negara ini. Beliau merupakan anak Melayu pertama yang dilantik memegang jawatan penting di UM iaitu Ketua Jabatan Ekonomi dan apabila jabatan itu dinaiktarafkan menjadi fakulti, beliau ialah orang pertama yang menjadi dekannya; professor Ekonomi dan naib canselor.

Ungku Aziz yang berdarah diraja dilahirkan pada 28 Januari 1922 di London, England. Beliau mendapat pendidikan awal di Johor Bahru kemudian meneruskan pengajian di Raffles College (1940-1941) dan mengambil mata pelajaran Ekonomi, Sejarah dan bahasa Inggeris. Beliau meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di Waseda University, Tokyo dengan mendapat Ijazah Doktor Ekonomi pada tahun 1964.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah ekonomi di UM Singapura, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, pensyarah kanan dan Ketua Jabatan Ekonomi, UM Kuala Lumpur, Dekan Fakulti Satera UM, diikuti dengan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM. Seterusnya beliau dilantik sebagai naib canselor selama dua dekad bermula 1 Oktober 1968 hingga 22 Februari 1988,. Beliau dianugerahkan Profesor Diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 17 Jun 1978.

Sumbangan beliau yang pertama ialah penubuhan Akademi Islam. Berdasarkan kertas kerja yang dibuat Profesor Diraja Ungku Aziz, senat universiti dalam mesyuaratnya pada 29 Julai 1976 telah menubuhkan Lembaga Pengajian tentang Nilam Puri dengan Ungku Aziz sebagai pengerusinya. Tujuannya untuk menimbang penerapan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan ke dalam UM. Hasil cadangan itu tertubuhnlah Akademi Islam UM. Kedua, penubuhan Institut Pengajian Tinggi pada tahun 1979 dengan menekankan kepada projek HAWA, Projek Pengajian Tinggi dan Pekerjaan. Dan pengajaran Kursus Sarjana Falsafah : Falsafah Penyedlidikan. Seterusnya penubuhan Pusat Asasi Sains pada tahun 1977 atas kesedaran beliau akan kekurangan pelajar peribumi dalam fakulti sains di UM. Keempat pula ialah penubuhan Pusat Bahasa UM pada 3 Mac 1972 sebagai sebuah organisasi perkhidmatan bahasa dan bertanggunjawab dalam menjalankan kursus bahasa yang sesuai dengan kehendak fakulti dan pusat-pusat lain di UM.

Ungku Aziz telah diberikan ijazah kehormat oleh beberapa universiti, antaranya Doctor of Humane Letters, University of Pittsburgh (1971); Doctor of Education, Chulalongkorn University, Bangkok (1977); Doctors of Laws, Waseda University, Tokyo(1982); Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi, UKM (1986); Doctor of Laws, University of Buckingham (1987); professor Emeritus, UM (1988); Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi, UM. Beliau turut mendapat pengiktirafan oleh kerajaan seperti Ordre des Arts et Des Lettres oleh Kerajaan Perancis (1965); Anugerah Yayasan Tun Abdul Razak (1978); Japan Foundation Award (1981); Soka Education Award (1987); International Academic Prize of the 4 Fukuoka Asian Cultural Prizes (1993); Anugerah Melayu Terbilang oleh Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi (2005) dan Anugerah Tuanku Syed Putra (2007).



Sumber : 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007) -Penerbit USM, 2007