Pages

BERITA STPM TERKINI



STPM Secara Modular Mulai 2012
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sentiasa berusaha untuk memperkasakan program pendidikan tingkatan enam dengan merangka rancangan penjenamaan semula program pendidikan prauniversiti ini. Satu daripadanya ialah merombak sistem peperiksaan STPM daripada sistem terminal kepada sistem modular.

STPM
Sistem pentaksiran STPM secara modular akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan tingkaran enam bawah pada tahun 2012. Dalam sistem modular ini, penilaian terhadap pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap semester (ada tiga semester semuanya). Selain peperiksaan akhir berpusat pada setiap hujung semester, pelajar akan dinilai juga melalui kerja kursus yang dijalankan sepanjang pengajian. Dengan pelaksanaan sistem baru ini diharapkan pengajian tingkatan enam akan menjadi lebih menarik, dan dengan yang demikian, lebih banyak pelajar akan mengikuti pengajian peringkat prauniversiti ini.

Dari segi promosi, KPM telah menghebahkan maklumat ini melalui laman web, media massa dan program turun padang untuk menyebarluaskan maklumat tentang pelaksanaan sistem modular ini kepada warga pendidik di semua peringkat, khususnya kepada guru tingkatan enam, dan kepada pelajar serta masyarakat umum seluruhnya.

KPM akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan dan menghebah kelebihan tingkatan enam serta terus berusaha memperkasakan pendidikan tingkatan enam. Usaha-usaha promosi juga dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak terutama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam program ‘Jom Masuk U’. Proses peralihan sedang dilaksanakan melalui siri kursus dan taklimat bagi memantap dan menyebarkan maklumat berkaitan sebelum pelaksanaannya.

Sumber : KPM

0 comments: