Pages

PERNIAGAAN PINJAMAN WANG SECARA HARAM

Perniagaan pinjaman wang sudah lama bertapak di Malaysia. Kini, fenomena tersebut berkembang pesat sehingga transisi pinjamannya menjangkau ratusan juta ringgit. dengan mengenakan kadar bunga yang tinggi along mengaut keuntungan berlipat ganda dan mampu meneruskan operasi haramnya meskipun negara dan dunia mengalami kemelesetan ekonomi.

Antara golongan yang tidak serik untuk mendapatkan khidmat along termasuklah mereka yang sering terjebak dengan kegiatan judi. Golongan ini sering menjadikan along sebagai sasaran apabila mereka kalah di meja judi. Wang yang dipinjam digunakan untuk berjudi. Selain itu, "ibu ayam" atau "bapa ayam" yang menjalankan aktiviti persundalan turut membantu pekerja seks mereka untuk meminjam duit daripada along untuk berjudi atau membeli-belah. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Berita Harian (19 Ogos 2011) pada bulan April dan Mei lalu iaitu sepanjang kejohanan liga bola sepak Inggeris berlangsung, jumlah wang yang dipinjam daripada along adalah antara RM5 juta hingga RM6 juta berbanding hanya RM2 juta pada bulan Jun. Hal ini menunjukkan trend, nilai pinjaman wang daripada along. Sebanyak 370 aduan mengenai masalah pinjaman along sepanjang tahun ini dengan nilai pinjaman mencecah RM25 juta membabitkan 2,694 along telah dilaporkan. Daripada jumlah itu, 70 peratus adalah peminjam daripada kaum Cina, Melayu (19 peratus) dan India (11 peratus).

Golongan lain yang sering meminjam wang daripada along ialah peniaga kecil-kecilan seperti penjaja makanan, pemilik restoran, peniaga bergerak dan pekedai runcit. Perniagaan sebegini memerlukan pusingan wang tunai untuik terus beroperasi. Oleh sebab kesukaran untuk mendapatkan modal pusingan daripada bank, maka institusi kewangan haram seperti along menjadi sasaran mereka untuk mendapatkan pinjaman.

Golongan usahawan juga tidak terkecuali, terutamanya kontraktor kecil-kecilan. Lazimnya mereka meminjam daripada along untuk membeli bahan pembinaan dan membayar gaji pekerja jika lewat menerima bayaran daripada kontraktor utama. Di samping itu, mereka yang "makan gaji" juga sering menjadi sasaran along. Hal ini berlaku kerana mereka ini mempunyai gaji tetap walaupun bergaji kecil. Golongan elit seperti pensyarah, doktor, peguam dan pegawai kerajaan juga sering terjebak dengan kegiatan along.

Masyarakat sewajarnya dididk supaya mereka tidak terjebak dalam perangkap along. Kegiatan along perlu diperangi secara habis-habisan. Langkah proaktif lain untuk membendung kegiatan along ialah mewujudkan tabung pinjaman dan pusat aduan masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Sementara itu, prosedur pinaman wang oleh pihak bank perlu dilonggarkan dengan mengurangkan karenah birokrasi. Syarat pinjaman oleh pihak bank sewajarnya dinilai semula supaya tidak terlalu ketat sehingga menyukarkan golongan peminjam untuk meminjam wang.



0 comments: