Pages

Jenayah warga Afrika

Peribahasa  sesuai :Cegah sebelum parah







Artikel dipetik dan diubahsuai daripada Berita Harian Online oleh Bersama Rejal Arbee
2011/10/20


ISU rakyat asing, khususnya dari Afrika yang berterusan membanjiri negara ini dengan alasan untuk belajar, tetapi sebenarnya mempunyai agenda tersendiri seperti yang dilaporkan oleh akhbar harian di Malaysia pada 19 Oktober 2011. Mereka ini dikatakan telah menjalani latihan di tempat khas umpama sekolah secara haram di negara mereka sebelum datang ke negara kita kerana mahu melakukan pelbagai jenayah dan aktiviti tidak sihat sudah seringkali disiarkan di media massa.

Antara jenayah yang sering mereka terbabit, termasuk pelbagai macam penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet, merekrut gadis menjadi keldai dadah menyeludup dadah ke luar negara dan jenayah perdagangan manusia. Malangnya, pihak berwajib nampak seolah-olah tidak bermaya untuk menangani atau menghapuskan masalah yang semakin meruncing ini. Dalam keghairahan begitu banyaknya kolej swasta diwujudkan sudah timbul persaingan tidak sihat untuk mendapatkan pelajar hinggakan ada kolej tidak kisah sama ada yang memohon pelajar yang benar-benar mempunyai kelulusan sah diperlukan.
Benarkah pihak berkuasa kita tidak prihatin bagaimana anak gadis kita begitu mudah dipengaruhi warga Afrika dan Iran untuk menjadi keldai dadah sehinggakan beratus-ratus gadis kita yang mudah terpedaya kini merengkuk dalam penjara di serata dunia? Pihak berwajib di imigresen pernah awal tahun ini menyatakan 20 kolej swasta disenarai hitamkan kerana menyalahgunakan visa pelajar. Apa gunanya disenaraihitamkan jika tidak ada tindakan menghalang kolej itu daripada menerima pelajar asing atau pun kolej itu terus ditutupkan saja. Tentunya sekarang polis sudah pun mempunyai senarai kolej mana yang mempunyai pelajar terbanyak terjebak dalam perlakuan jenayah warga Afrika yang sudah ditahan dan senarai negara asal mereka itu.

Sudah tiba masa diwujudkan satu peruntukan supaya mana-mana kolej tidak lagi dibenarkan mengambil pelajar dari luar mengikuti sebarang kursus ditawarkan. Inilah saja jalan harus diambil, jika tidak mahu terus menutup saja kolej terbabit. Tindakan drastik begini saja yang nampaknya boleh mengatasi masalah itu. Tentunya ramai rakyat negara ini mahu tahu sejak bertahun ini sudah berapa kolej swasta pernah dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan surat sokongan mereka kepada rakyat asing? Jika masih tidak ada, Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberikan penjelasan.

Kini timbul pula pendedahan bahawa sudah ada pula kemudahan visa pelajar mudah diperoleh hanya dengan membayar antara RM500 dan RM1,000 kepada orang tengah tanpa perlu berurusan dengan Jabatan Imigresen lagi. Persoalannya bagaimana pula hal ini boleh berlaku? Jalan mudah yang boleh diambil kerajaan mengatasi perlakuan ini ialah dengan tidak lagi membenarkan kemasukan rakyat Nigeria atau Kenya atau mana-mana pun negara di mana warganya banyak melakukan jenayah di sini. Kita sememangnya tidak perlukan rakyat negara terbabit ke mari membawa pelbagai masalah kepada rakyat.

Seharusnya sudah ada peraturan kita hanya boleh terima warga negara itu dengan syarat ketat, misalnya jika diperakukan kerajaan mereka sendiri. Tidak harus wujud lagi kenyataan janggal baik daripada menteri atau mana-mana juga ketua jabatan kononnya kita akan ambil tindakan. Rakyat tidak lagi mahu dengar kenyataan seperti itu. Rakyat mahukan tindakan menyekat kemasukan anasir penjenayah sedemikian. Negara akan lebih aman kiranya peraturan ini diwujudkan.

Pihak polis pada 19 Oktober  ada mengeluarkan kenyataan satu sindiket penipuan warga Afrika menggunakan laman sosial seperti Facebook dan e-mel menipu wanita profesional berjaya ditumpaskan. Ini hanya satu daripada sindiket sedemikian. Jika sudah ditumpaskan apa jadi dengan anasir yang dicekup menjalankan kegiatan itu. Ini tidak pula diterangkan. Orang ramai ingin tahu apa tindakan yang sudah dilakukan? Berapa ramai rakyat Afrika yang ditahan dan dikemukakan ke muka pengadilan dan disabitkan dan berapa ramai pula yang sudah dinyahkan dari negara ini dengan disenaraihitamkan supaya tidak lagi dapat masuk ke mari?

Berapa ramai antara kita yang sering saja menerima e-mel tipu menceritakan bagaimana dia seorang janda mewarisi berjuta-juta dolar, tetapi perlu mendapatkan khidmat orang lain untuk mengeluarkan wang itu dengan janji memberikan sehingga 40 peratus daripada jumlahnya tetapi sebelum itu orang yang disasar itu perlu memasukkan sejumlah wang dalam akaunnya kononnya untuk memudahkan urusan.

Saya hairan bagaimana orang boleh percaya dengan penipuan begini? Kini dikatakan ada sehingga 110,000 pelajar asing berada dalam negara ini. Daripada jumlah itu seramai 30,000 kononnya mengikuti kursus latihan kemahiran teknikal selama enam bulan. Apakah selepas tamat tempoh enam bulan itu kesemuanya kembali ke negara masing-masing atau masih terus berada di sini?

Sewajarnya Kementerian Pengajian Tinggi boleh bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen untuk menghapuskan gejala buruk ini hingga ke akar umbi supaya tidak berlaku lagi dalam negara ini.

0 comments: